ISLAMABAD: Taliban menyambut baik resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat yang mengakui Afghanistan sedang menghadapi pelbagai cabaran.

Namun, Majlis Keselamatan menyifatkan larangan ke atas wanita bekerja sebagai "isu sosial dalaman," menurut Agensi Anadolu.

Kementerian Luar Afghanistan berkata pentadbiran Taliban menyambut baik sebahagian daripada resolusi yang mengesahkan komitmen Majlis Keselamatan terhadap kedaulatan, kemerdekaan, integriti wilayah dan perpaduan negara Afghanistan.

"Pengakuan resolusi bahawa Afghanistan menghadapi pelbagai cabaran dialu-alukan. Larangan ini merupakan urusan sosial dalaman Afghanistan yang tidak memberi kesan kepada negara luar.

"Kami terus komited untuk memastikan semua hak Wanita Afghanistan dan menekankan bahawa kepelbagaian mesti dihormati dan bukan dipolitikkan,"kata jurucakap kementerian Abdul Qahar Balkhi.

Majlis Keselamatan sebulat suara menerima pakai resolusi yang mengutuk larangan wanita Afghanistan bekerja untuk PBB di Afghanistan dan menggesa Taliban menukar segera dasar dan amalan yang menyekat kebebasan asasi wanita dan gadis.

Resolusi itu diusulkan oleh Emiriah Arab Bersatu dan Jepun -- ahli tidak tetap Majlis -- dan ditaja bersama oleh lebih 90 negara.

Keputusan Taliban melarang wanita bekerja untuk PBB di Afghanistan, sebagai tambahan kepada sekatan awal yang melarang wanita bekerja untuk pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa dan kebangsaan, akan menjejaskan operasi PBB di negara itu, termasuk penyampaian bantuan menyelamatkan nyawa dan perkhidmatan asas kepada golongan yang paling terjejas.

-- BERNAMA